Apabila memohon pembiayaan Islam, mengapakah perbankan Islam mengenakan kadar keuntungan (profit rate) berdasarkan harga siling (ceiling rate). Perbankan Islam di Malaysia telah menggunapakai harga siling ini untuk memudahkan transaksi jual beli dimana kadar yang dikenakan sepatutnya lebih rendah dari kadar siling.
Contoh:Ali memohon pembiayaan rumah (BBA) dengan harga RM100k pada kadar BFR+1.0% tetapi apabila membuat transaksi jual beli, (aset yang digunakan ialah rumah tersebut) pihak bank menggunakan harga siling 11%. Walaubagaimanapun, pihak bank ada menyatakan bayaran bulanan yang perlu dibayar ialah BFR+1.0% (RM500) bukan 11% (RM850) dimana perbezaan (RM350) bayaran bulanan tersebut akan direbetkan (bukan dipulangkan) didalam akaun Ali.
a. Adakalanya saya melihat Bank-bnak Islam turut menggunakan Base Lending Rate (BLR), adakah ini diterima Islam?
b. Adakah ini dibenarkan di dalam Islam?
s. Kaedah begini mungkin boleh mengelirukan pelanggan bukan Islam dan mereka akan mengatakan kadar siling tersebut kejam dan tiada membawa makna jika dibandingkan konvensional. Apakah cara untuk meyakinkan pelanggan sebegini?
Jawapan
Pertamanya terima kasih atas soalan yang diajukan. Saya akan cuba menjawab seringkas dan semudah mungkin.
a. ISU GUNA BLR
Benar, asal kiraan Base Lending Rate adalah kiraan berdasarkan riba, ia bersangkut paut dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) penanda aras utama kadar faedah dalam negara, yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia. Pada tarikh saya menulis artikel ini kadar OPR yang ditetapkan oleh BNM adalah 3.25 %.
Kadar ini digunakan oleh bank-bank komersial sebagai cost of fund atau kos asas pemberian pembiayaan (bagi bank-bank Islam), atau kos asas pemberian pinjaman. Dalam bahasa mudahnya, ia adalah kos modal asal bagi bank.
Untuk memudahkan kefahaman, sebagai contoh ; anda meniaga burger di tepi jalan, maka untuk menentukan kos sebiji burger biasa, anda perlu mengambil kira kos-kos asas atau modal untuk menghasilkan sebiji burger. Iaitu harga sepaket daging burger, kos telur, sayuran, premis jualan bergerak dan lain-lain.
Lalu dianggarkan RM0.50 kos bagi sebiji burger biasa. Itulah kos ‘cukup makan' untuk perniagaan burger anda, jika diletakkan harga lebih rendah maka anda akan rugi.
Dalam konteks perbankan pula, RM0.50 tadi adalah kos dasar yang diletakkan oleh Bank Negara Malaysia. Huraian lanjut berkenaan hal ini adalah terlalu teknikal (berkait dengan interbank money market) justeru cukuplah saya simpulkan sedemikian.
Sesudah mengambil kira kos RM0.50 sebagai harga modal asas, Kini sebagai pemilik gerai burger anda mengambil seorang pekerja, mengupah iklan dan beberapa perkara tambahan. Semua ini bolehlah digelar ‘cost of fund' bagi pihak bank, dan ia akan memasukkan juga kadar keuntungan yang disasarkan oleh pihak bank atau dalam konteks contoh tadi, pihak penjual burger.
b. Adakah ia dibenarkan?
Ia ia dibenarkan CUMA mestilah di buat dengan teliti dan menepati syarat agar tidak jatuh dalam juualan dengan harga pelbagai yang diharamkan dalam Islam. Atas sebab itulah harga siling digunakan sebagai harga tetap bagi kontraknya, BFR pula dipakai hanya bagi menentukan berapakan kadar diskuan atau rebate atau ibra yang kemungkinan boleh diberikan oleh pihak bank kepada pelanggannya. Ia tidak boleh dijanjikan. Keterangan lanjut bagi soalan ini juga boleh dibaca dalam link yang diberikan sebentar tadi.
c. Tidak, fakta dan statistik tidak menunjukkan orang bukan Islam merasa Bank Islam zalim, malah merekalah pelanggan terbesar bank islam kerana ramai mereka yang bijak mengira.
Orang Islamlah yang terbanyak mengatakan bank Islam zalim dan kejam mereka kebanyakkan mereka lemah matematik dan tidak memahami cara kiraan.
Tiada yang keliru kecuali bagi mereka yang tidak faham atau belum faham. Justeru dapatkan ilmu dan dengan itu boleh meyakinkan mereka, anda perlu memahami dahulu di link tadi, nescaya akan faham inshaAllah.
KESIMPULAN
Terima kasih kerana bertanya namun ingin saya nasihatkan orang ramai agar jangan cepat melenting dengan urusan dan transaksi dengan bank-bank islam sebelum benar-benar memahaminya, dapatkan kefahaman terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa mengganggapnya salah.
Transaksi di bank-bank sememangnya teknikal dan tidak mudah diterangkan kepada orang ramai dalam bentuk yang mudah. Bersangka baik perlu didahulukan, kemudian kaji dengan tenang dan rujukilah mereka yang pakar, berpengalaman dan faham.
Jika setelah kaji dengan yang pakar atau anda pakar barulah boleh untuk seseorang menulis teguran kepada bank-bank Islam dan ahli-ahli Syariah yang menyelianya.
Saya faham, ramai yang skeptik dengan tindak tanduk bank-bank Islam di Malaysia, namun jangan memusuhi sesuatu dalam keadaan kejahilan berkenaan hakikatnya.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
0 comments:
Post a Comment